Oleh: Haji Muhammad Fadli Ismail al-Qadehi
Sinopsis:
Kerjaya didefinisikan sebagai profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah (Kamus Dewan).
Al-Qur’an seperti mana sedia maklum merupakan kalam Allah s.w.t. dan mukjizat Rasulullah s.a.w. yang terbesar dan kekal sehingga kini. Ia merupakan ‘dustur al-hayat’ (peraturan hidup) yang mengandungi ajaran-ajaran dan perintah-perintah Allah s.w.t. yang mampu membawa kepada kemurnian peribadi manusia dan kecemerlangan hidup dalam pelbagai bidang di dunia dan di akhirat. Oleh itu, al-Qur'an perlu disebarkan dan penghayatannya perlu ditanam di dalam diri sanubari manusia. Tugas ini sangat besar dan merupakan amanah Allah s.w.t. kepada ahlu al-Qurán dengan penuh dedikasi dan benar-benar ikhlas kepada Allah s.w.t. serta tanpa mengharapkan sebarang ganjaran duniawi.
Persoalan “membina kerjaya dengan al-Qur’an” bermaksud mengambil bayaran atau imbalan tertentu melalui usaha-usaha yang dijalankan berkaitan al-Qur’an seperti penghafalan, pengajaran tilawah (cara membacanya), penyebaran ajaran dan hukum-hakamnya, termasuk pengajaran ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya seperti fiqh, tafsir, hadith, akidah dan lain-lain. Pada zaman kini, jarang sekali didapati orang yang mengajar ilmu-ilmu tersebut secara percuma. Mungkin kerana seorang guru terpaksa memberi tumpuan kepada para pelajarnya, yang menyebabkan dia terpaksa meninggalkan urusan mencari rezeki dalam bentuk lain yang boleh menjamin kesinambungan hidup dan keluarganya. Justeru, amat penting untuk mengkaji pendirian para ulama Islam berhubung dengan persoalan ini.
Hukum Syara‘:
Persoalan mengambil bayaran atau imbalan tertentu melalui usaha-usaha berkaitan al-Qur’an seperti penghafalan, pengajaran tilawah (cara membacanya), penyebaran ajaran dan hukum-hakamnya, termasuk ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya seperti fiqh, tafsir, hadith, akidah dan sebagainya merupakan antara persoalan khilaf warisan salaf dan khalaf. Terdapat dua mazhab atau pendapat dalam masalah ini:
Mazhab Pertama:
Pendukung mazhab ini berpendapat bahawa harus memberi bayaran terhadap pengajaran al-Qur’an dan ilmu-ilmu syari‘ah yang lain sebagaimana harus menerima bayaran tersebut, walaupun terdapat khilaf daripada segi tafsil (huraian terperinci) antara sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Antara pendukung pendapat ini di kalangan para sahabat r.a. ialah ‘Ammar bin Yasir dan Sa‘ad bin Abi Waqqas. Sekumpulan tabi‘in memberi kelonggaran (menganggap sebagai satu rukhsah) hanya kepada ganjaran terhadap guru-guru al-Qur’an. Al-Hakam bin ‘Utaibah berkata: “ Saya tidak mengetahui seorang pun yang tidak menyukai ganjaran kepada guru al-Qur’an.”
Pendapat inilah yang dipegang oleh para ulama Hanafiyyah terkemudian dan fatwa mereka berasaskan pendapat ini. Al-Malikiyyah berpendapat bahawa harus memberi bayaran kepada orang mengajar al-Qur’an dan makruh memberi bayaran kepada orang yang mengajar ilmu-ilmu syari‘at yang lain. Manakala al-Syafi‘iyyah pula berpendapat bahawa harus memberi bayaran kepada orang mengajar al-Qur'an. Manakala mengambil bayaran kerana mengajar ilmu lain tidak diharuskan, kecuali apabila guru tersebut menentukannya kepada beberapa orang dan bagi masalah-masalah tertentu daripada ilmu yang diajarkannya kepada mereka. Pendapat ini juga merupakan satu riwayat daripada Imam Ahmad dan pendapat yang dipegang oleh Zahiriyyah.(1)
Mazhab Kedua: Para pendukung mazhab ini bertegas menyatakan bahawa tidak harus membayar dan mengambil bayaran hasil daripada pengajaran al-Qur'an dan ilmu-ilmu syari‘at yang lain. Pendapat ini diriwayatkan daripada ‘Umar r.a., 'Abdullah bin Mughfal dan sesetengah tabi‘in.
Inilah pendapat yang dipegang oleh para ulama Mazhab Hanafi yang terawal dan merupakan satu riwayat daripada Imam Ahmad, bahkan merupakan pendapat yang termasyhur daripada para pendukung beliau berhubung dengan hukum mengambil bayaran daripada mengajar al-Qur’an. Tetapi mereka (para ulama Mazhab Hambali) bersepakat terhadap keharusan memberi bayaran dan mengambil bayaran hasil daripada pengajaran fiqh dan hadis kerana pengajarnya tidak semestinya terdiri daripada ahli qurbah.(2)
Dalil-dalil:
Bagi Mazhab Pertama:
Antara dalil yang dikemukakan oleh para pendukung mazhab ini adalah seperti berikut: Pertama: Dalil daripada al-Sunnah al-Nabawiyyah:
1- Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas katanya: “ Sesungguhnya sebilangan daripada para sahabat Rasulullah s.a.w. melalui satu kawasan wadi yang di kalangan mereka ada seorang yang terkena sengatan, lalu seorang lelaki daripada penduduk wadi itu memberi tawaran, katanya: “ Adakah salah seorang di kalangan kamu yang boleh berjampi? Lalu seorang lelaki di kalangan para sahabat itu pergi, lalu membaca Surah Fatihah atas syarat beroleh beberapa ekor kambing, lalu lelaki yang terkena sengatan itu sembuh, lalu dia membawa pulang beberapa ekor kambing kepada para sahabatnya, tetapi mereka tidak menyukai akan hal itu. Mereka berkata: "Engkau mengambil sesuatu bayaran atas kitab Allah," sehinggalah mereka tiba di Madinah, lalu mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, dia telah mengambil sesuatu imbalan atas kitab Allah, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:
" إن أحق ما أخذتم عليه أجرا كتاب الله ."
Maksudnya: "Sesungguhnya yang paling patut kamu mengambil ganjaran atasnya ialah kitab Allah.” (3)
Aspek istidlal dengan hadis di atas:
Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada para sahabatnya bahawa kitab Allah s.w.t. lebih layak diambil imbalan daripadanya. Hadis Rasulullah s.a.w. itu walaupun berlaku pada suatu peristiwa yang diambil imbalan kerana berjampi dengan al-Qur'an, namun perkiraan berdasarkan lafaz secara umum (العبرة بعموم اللفظ), apatah lagi lafaz di dalam hadis berbentuk umum yang membawa maksud harus mengambil bayaran atau imbalan daripada mengajar Kitab Allah, membacanya, menulisnya, berjampi dengannya dan sebagainya. Ini kerana lafaz bersesuaian dengan semua itu.
2- Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri bahawa beliau menceritakan: “ Sebilangan para sahabat Rasulullah s.a.w. bertolak dalam satu permusafiran yang dilakukan oleh mereka sehingga sampai ke satu kawasan penempatan daripada perkampungan bangsa Arab, lalu mereka meminta untuk bertamu kepada mereka tetapi kaum itu enggan untuk menerima mereka sebagai tetamu. Tiba-tiba penghulu kampung tersebut disengat, lalu anak buahnya berusaha untuk mengubatinya dengan pelbagai cara, tetapi tidak berhasil. Selepas itu, salah seorang daripada mereka berkata: "Kalaulah kamu membawa ke sini rombongan yang singgah itu, kemungkinan mereka ada sesuatu, lalu mereka mendatangi para sahabat itu, lalu berkata : "Wahai anggota rombongan, sesungguhnya penghulu kami terkena sengatan dan kami telah berusaha dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil, adakah kamu ada sesuatu?" Maka salah seorang daripada para sahabat itu berkata: "Ya, demi Allah, saya akan berjampi, tetapi kami telah meminta untuk bertamu tetapi kamu tidak menerima kami, maka aku tidak akan berjampi sehinggalah kamu membuat sesuatu tawaran." Lalu, mereka bersetuju kepada para sahabat itu untuk memberi beberapa ekor kambing. Maka lelaki itu pergi kepada penghulu kampung itu, lalu meludah ke tempat yang kena sengatan itu dan membaca al-Hamdulillah Rabbil 'alamin, tiba-tiba dia seolah-olah terlepas daripada ikatan (sembuh dengan serta-merta), lalu dia cuba berjalan dan tidak ada apa-apa. Dia berkata: Maka tunaikan hadiah mereka seperti yang dimaterikan. Sebahagian daripada para sahabat berkata: "Bahagikanlah." Tetapi sahabat yang berjampi itu berkata: "Janganlah kamu melakukannya lagi sehinggalah kita mendatangi Rasulullah s.a.w., lalu kita menceritakan apa yang berlaku, kemudian kita lihat apakah yang baginda akan bertitah kepada kita." Tidak lama selepas itu, mereka sampai kepada Rasulullah s.a.w., lalu mereka menceritakan akan hal yang demikian, lalu baginda bersabda: “ Tidak tahukah kamu bahawa ia (Surah al-Fatihah) ialah jampian? Kemudian baginda bersabda: “ Kamu telah menepati kebenaran, dan berikan untukku satu bahagian.”(4)
Aspek istidlal:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. mengharuskan mengambil ganjaran yang ditawarkan daripada hasil jampian dengan al-Qur'an. Maka ini menunjukkan kepada keharusan mengambil imbalan daripada membaca al-Qur'an, mengajarnya, menulisnya dan sebagainya. Ini kerana tiada perbezaan di antara membaca untuk mengajar dan membaca untuk mengubat. Pihak mazhab yang kedua menyangkal hujah daripada pendalilan dengan dua hadis tersebut seperti berikut:
1- al-Tahawi berkata: "Sesungguhnya mengambil upah daripada hasil jampian walaupun ia termasuk sebahagian daripada al-Qur'an tetapi itu tidak semestinya harus mengambil upah daripada seluruh al-Qur'an, atau mengajarkannya. Ini kerana bukanlah wajib bagi manusia berjampi terhadap manusia lain. Oleh itu, harus mengambil upah daripada hasil ini. Manakala manusia mengajar sebahagian yang lain adalah merupakan tugas yang wajib, kerana perintah tabligh (menyampaikan) al-Qur'an datangnya daripada Allah s.w.t, dan ia tidak diambil sebarang upah.
2- Ibnu Qudamah dan sebahagian ulama mazhab Hanafi berkata: Sesungguhnya mengambil hadiah daripada hasil jampian adalah suatu perkara yang tidak diperselisihkan lagi. Khilaf hanya pada masalah mengambil upah daripada hasil mengajar al-Qur'an dan ilmu-ilmu agama yang lain. Perbezaan di antara kedua-dua perkara ini ialah : Sesungguhnya jampi adalah suatu cara rawatan dan apa yang diambil hasil daripadanya ialah hadiah, merawat harus mengambil upah daripada hasilnya. Al-Ju'alah adalah lebih luas daripada Ijarah. Oleh itu, ju‘alah itu harus walaupun tidak diketahui kerja dan tempoh, sedangkan ijarah pula berbeza. Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis Ibni 'Abbas yang bermaksud: “Sesungguhnya yang lebih patut kamu mengambil imbalan daripadanya ialah al-Qur'an" juga bermaksud hadiah daripada jampian. Ini kerana perkara ini disebut dalam hadis jampian.” (5)
3- Ibnu al-Jawzi berkata: Hadis Abi Sa'id boleh dijawab dengan tiga jawapan: Pertama; Sesungguhnya kaum yang penghulunya disengat itu adalah orang kafir, maka diharuskan mengambil harta mereka. Kedua: Hak meraikan seorang tetamu adalah wajib, sedangkan mereka tidak menerima para sahabat sebagai tetamu mereka. Ketiga: Jampian itu bukanlah qurbah yang khusus, justeru diharuskan mengambil upah daripada hasilnya. Al-Qurtubi berkata: Kami tidak dapat terima bahawa keharusan mengambil upah dalam masalah jampi itu menunjukkan juga keharusan mengajar al-Qur'an dengan upah.(6)
3- Diriwayatkan daripada Sahl al-Sa‘idi berhubung dengan masalah seorang yang ingin berkahwin dengan seorang wanita yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w., lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada seorang lelaki yang ingin mengahwini wanita itu: “ Apakah yang ada pada engkau daripada al-Qur'an? Jawab lelaki itu: "Pada saya ada surah begian dan surah begian." Baginda bertanya: "Adakah engkau membacanya daripada hafalanmu?" Lelaki itu menjawab, "Ya." Baginda bersabda: "Pergilah, sesungguhnya aku telah memilikkan wanita itu kepada engkau dengan apa yang engkau ada daripada al-Qur'an. Di dalam satu riwayat: "Pergilah! sesungguhnya aku telah mengahwinkan engkau, maka ajarilah wanita itu apa yang ada pada engkau daripada al-Qur'an.” (7)
Aspek istidlal:
Rasulullah s.a.w. menjadikan tugas mengajar al-Qur'an sebagai gantian di dalam bab nikah dan meletakkannya setaraf dengan mahar. Sekiranya ini diharuskan, maka harus juga mengambil upah daripada hasilnya di dalam bab ijarah. Sabda baginda di dalam hadis: "...dengan apa yang ada pada engkau daripada al-Qur'an..” yakni dengan cara engkau mengajarkannya apa yang ada pada engkau daripada al-Qur'an. Ini kerana al-ba' di sini bermaksud mu’awadah (pertukaran) dan muqabalah (perimbangan) atau ba' al-sababiyyah yang bermaksud dengan sebab apa yang ada pada engkau daripada al-Qur'an, maka nikah lelaki tersebut terlepas daripada mahar material kecuali mahar dalam bentuk pengajaran al-Qur'an kepada wanita itu. (8)
Namun, pihak mazhab kedua menyangkal pendalilan ini seperti berikut:
a. Ibnu Qudamah berkata: "Sesungguhnya asas khilaf di sini ialah pada masalah menjadikan pengajaran al-Qur'an sebagai mahar di dalam nikah. Di dalam hadis ini bukannya merupakan pernyataan yang jelas bahawa mengajar al-Qur'an kepada perempuan itu adalah maharnya. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda di dalamnya: "Aku mengahwinkannya kepada engkau berasaskan apa yang ada padamu daripada al-Qur'an" berkemungkinan maksudnya ialah baginda mengahwinkannya dengan wanita tersebut tanpa mahar kerana hendak memuliakannya sebagaimana baginda mengahwinkan Abu Talhah dengan Ummu Sulaim r.a. hanya dengan keislamannya.(9) Ini adalah harus, sedangkan perbezaan di antara mahar dan upah ialah bahawa mahar bukanlah tukar ganti material semata-mata, tetapi ia diwajibkan kerana kasih sayang dan silaturahim. Oleh sebab itu harus tidak disebut mahar ketika akad nikah.., berbeza dengan upah pada selain daripadanya. (10)
b. Menurut Al-Shawkani pula: "Sesungguhnya hadis tidak menyatakan dengan jelas di dalamnya bahawa mengajar al-Qur'an itu merupakan maharnya. Sekiranya diterima bahawa ia dianggap mahar, kemungkinan perkara itu khusus untuk lelaki ini dan wanita itu, serta tidak harus untuk selain daripada mereka berdua. Ini terbukti melalui hadis yang dikeluarkan oleh Sa'id bn Mansur daripada Abi al-Nu‘man al-Azdiy bahawa Nabi s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki dengan seorang perempuan berasaskan satu surah daripada al-Qur'an, kemudian baginda bersabda maksudnya: "Tidak boleh dijadikan untuk seorang pun selepas engkau sebagai mahar.” (11)
Kedua: Athar para sahabat, antaranya:
1- Diriwayatkan daripada Syu‘bah bahawa ‘Ammar bin Yasir pernah memberi satu kaum yang membaca al-Qur'an pada bulan Ramadan.
2- Diriwayatkan daripada Sufyan bahawa Sa‘ad bin Abi Waqqas berkata: "Sesiapa yang membaca al-Qur'an aku akan memberinya 2000." (12)
Aspek istidlal : Kedua-dua athar tersebut menerangkan bahawa ‘Ammar dan Sa‘ad pernah memberi upah terhadap pembacaan al-Qur'an. Mereka berdua tidak akan melakukannya melainkan kerana tawqif (berdasarkan dalil), kerana tiada ruang untuk ijtihad dalam masalah ini.
Ketiga: Ijma‘ Ahli Madinah
Imam Malik berkata: "Tidak pernah sampai kepadaku bahawa seorang pun yang membenci pengajaran al-Qur'an dan penulisannya dengan upah." (13)
Keempat: Ijtihad dan qias
1- Harus mengambil sumber rezeki dari Bayt al-Mal terhadap pengajaran al-Qur'an, fiqh, hadis dan ilmu-ilmu syariat yang lain. Maka dengan itu, harus juga mengambil upah daripada individu sebagaimana mengambil upah membina masjid dan jambatan. (14)
2- Sesungguhnya manusia amat memerlukan kepada seorang yang mengajarkan mereka akan al-Qur'an dan fiqh. Amat sedikit kini orang yang mengajarnya hanya mengharap pahala daripada Allah. Sedangkan pada ketika dahulu para guru tersebut diberi sedikit sagu hati daripada Bayt al-Mal atau lebih untuk memberi galakan kepada mereka agar memberi keutamaan kepada urusan-urusan agama. Juga pernah diberikan fatwa akan wajibnya mengajar kerana ditakuti hilangnya al-Qur'an dan sebagai galakan supaya mengajar sehingga mereka mampu untuk membangunkan yang wajib, lalu penghafal al-Qur'an bertambah ramai. Manakala hari ini semua perkara yang tersebut tadi telah tiada lagi, padahal para hafiz sibuk dengan urusan kehidupan mereka dan amat sedikit di kalangan mereka yang bekerja kerana mengharapkan pahala daripada Allah, kerana mereka tidak berpeluang untuk itu kerana sibuk dengan urusan kerja mereka. Oleh itu, sekiranya tidak dibuka pintu yang mengharuskan mengajar dengan bayaran, sudah pasti al-Qur'an akan hilang. Oleh itu difatwakan keharusannya kerana tujuan itu. Ini kerana hukum-hakam ada kalanya berubah disebabkan dengan perubahan zaman.(15)
Manakala pendalilan al-Malikiyyah bahawa makruh mengambil bayaran terhadap pengajaran ilmu selain daripada al-Qur'an adalah berdasarkan seperti berikut: Hujah akal
1- Sesungguhnya mengambil bayaran daripada mengajar ilmu menjadi jalan kepada kurangnya pelajar ilmu agama. Ini kerana ada di kalangan mereka yang tidak mampu menunaikan bayaran.
2- Sesungguhnya menyebarkan ilmu agama adalah wajib. Mengambil bayaran daripada pengajarannya boleh menjejaskannya secara umum. Oleh itu, bayaran daripada pengajarannya adalah makruh. (16)
Pendalilan para ulama al-Syafi‘iyyah yang berpendapat tidak harus mengambil bayaran melainkan apabila seorang guru menentukan beberapa orang dan beberapa masalah yang ditetapkan untuk diajar kepada mereka berdasarkan seperti berikut:
Pertama : al-Qur'an al-Karim:
Firman Allah Ta ‘ala:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk..” [al-Baqarah: 159]
Kedua: al-Sunnah al-Nabawiyyah Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
" من كتم علما نافعا ألجمه الله بلجام من نار يوم القيامة " .
Maksudnya: “ Sesiapa yang menyembunyikan satu ilmu yang berguna, nescaya Allah akan mengekangnya dengan kekangan daripada api pada hari kiamat kelak.” (17) Aspek istidlal daripada ayat dan hadis di atas: Di dalam ayat dan hadis di atas terdapat amaran dan ancaman yang keras bagi seorang yang menyembunyikan ilmu. Tidaklah dikira sebagai sesuatu daripada penyembunyian itu yang lebih berat daripada mengambil bayaran daripada pengajaran ilmu. Dimaksudkan dengan ilmu yang tidak patut disembunyikan di sini ialah ilmu yang tidak ditetapkan orang yang menerimanya secara khusus dan apa yang dicurahkan kepada mereka. Itu merupakan pengajaran umum dan tegahan mengambil bayaran daripadanya kerana ia merupakan fardu kifayah dan suruhan yang sabit terhadap penyebarannya. Ia juga kerana suatu yang tidak ditetapkan, maka wajiblah seorang guru melaksanakannya tanpa bayaran. Manakala sekiranya ditetapkan jumlah orang yang menerima ilmu tersebut serta masalah tertentu yang mereka pelajarinya dan terhad, maka harus mengambil bayaran daripada pengajaran kerana pekerjaan itu jelas. Dalil Mazhab Kedua: Para pendukung mazhab ini yang mengatakan bahawa tidak harus mengenakan bayaran daripada pengajaran al-Qur'an dan ilmu-ilmu agama atau mengambil bayaran terhadap usaha demikian ialah berdasarkan seperti berikut: Pertama: al-Sunnah al-Nabawiyyah:1- Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Samit bahawa beliau berkata: "Aku pernah mengajar beberapa orang daripada ahli Suffah akan al-Qur'an dan menulis, lalu seorang lelaki di kalangan mereka menghadiahkan kepadaku busar panah. Aku berkata: " Sebatang busar bukanlah harta, aku boleh menggunakannya dalam perang pada jalan Allah, lalu aku menceritakan yang demikian kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda bersabda: “ Sekiranya engkau suka sekiranya Allah memakaikan engkau satu busar daripada api maka terimalah.” (18) Aspek istidlal: Rasulullah s.a.w. memberi amaran kepada ‘Ubadah agar tidak mengambil busar panah tersebut sebagai imbalan daripada apa yang dilakukannya iaitu mengajar Ahli Suffah akan al-Qur'an dan menulis, serta memberi ancaman kerana gantinya Allah akan memakaikannya busar daripada api pada hari kiamat kelak. Ancaman yang berat ini tidak berlaku melainkan terhadap suatu perkara yang ditegah dan dilarang oleh syara‘. Oleh itu, hadis ini menunjukkan bahawa tidak harus mengenakan bayaran dan menerimanya terhadap pengajaran al-Qur'an dan ilmu-ilmu agama yang lain. Disangkal pendalilan ini seperti berikut: a. Ibnu Hazm berkata: Hadis ‘Ubadah ini diriwayatkan melalui beberapa turuq (jalan) kesemuanya adalah daif. Salah satu daripada turuqnya diriwayatkan daripada al-Aswad bin Tha‘labah yang merupakan seorang majhul (tidak dikenali). Keduanya: daripada jalan Baqiyyah juga merupakan seorang yang daif. Ketiganya melalui jalan Ismail bin ‘Ayyasy seorang yang daif, kemudian hadis ini munqati‘ (terputus) pula.(19) b. Al-Syawkani pula berkata: "Di dalam sanadnya ada al-Mughirah bin Ziyad dan Abu Hasyim al-Musili. Waki‘ dan Yahya bin Ma‘in bertawaqquf terhadap hadis ini. Sekumpulan pula memperkatakannya melainkan ia diriwayatkan daripada ‘Ubadah daripada jalan yang lain di sisi Abu Daud dengan lafaz yang bermaksud: "Aku berkata, apa pandanganmu dalam masalah tersebut wahai Rasulullah: lalu baginda bersabda: Engkau telah memakaikan jumrah di antara dua belikatmu.” Di dalam sanadnya Baqiyyah bin al-Walid yang dipertikaikan oleh sekumpulan dan jumhur mempercayainya (menganggapnya thiqah).(20) c. Al-San‘ani pula berkata: Di kalangan para perawi Hadis 'Ubadah ini ialah al-Mughirah bin Ziyad yang dipertikaikan mengenainya dan Imam Ahmad menolak hadisnya. Di dalamnya juga ada al-Aswad bin Tha‘labah dan mengenainya ada beberapa pandangan. Oleh sebab itu, ia tidak begitu kuat untuk menandingi hadis Ibnu ‘Abbas (yang disebut tadi serta sabit di dalam sahih) yang menunjukkan keharusan menerima bayaran daripada mengajar al-Qur'an. Seandainya hadis ‘Ubadah adalah hadis sahih, maka ia berkemungkinan menunjukkan bahawa ‘Ubadah pada asalnya hanya ingin memberi secara ihsan dan dengan cara mengajar, bukan berniat untuk mengambil bayaran, maka Rasulullah s.a.w. memberi amaran kepadanya agar tidak terbatal pahalanya dan memberi ancaman kepadanya. Juga kerana mengambil bayaran daripada ahli Suffah secara khusus adalah suatu yang tidak baik dan rendah kerana mereka adalah faqir yang menyara kehidupan dengan sedekah orang ramai. Oleh sebab itu mengambil harta daripada mereka adalah makruh. (21) 2- Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka‘ab bahawa beliau pernah mengajar seorang lelaki akan satu surah daripada al-Qur'an, lalu beliau dihadiahkan sehelai baju atau kain, lalu beliau menceritakan perkara itu kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bersabda yang maksudnya: "Seandainya engkau memakaikannya atau mengambilnya, nescaya Allah akan memakaikanmu sebagai gantinya satu pakaian daripada api neraka.” (22) Aspek istidlal: Rasulullah s.a.w. melarang Ubai bin Ka‘ab daripada mengambil baju atau kain, dan memberi ancaman kerana mengambilnya atau memakainya bahawa Allah akan memakaikannya sebagai gantinya satu pakaian daripada api neraka. Amaran dan ancaman ini tidak berlaku melainkan ke atas perkara yang ditegah oleh syara‘. Maka, ini menunjukkan kepada tidak harus mengambil bayaran daripada pengajaran al-Qur’an. Pendalilan ini disangkal seperti berikut : Al-Bahwati berkata: Hadis berkenaan baju ini adalah satu permasalahan khas, maka ia berkemungkinan bahawa Rasulullah s.a.w. mengetahui bahawa Ubai melakukan yang demikian secara ikhlas, maka baginda tidak suka Ubai mengambil imbalan daripadanya selain daripada Allah. Barangkali juga ia bermaksud selain daripada itu. Namun hadis ini tidak setanding dengan hadis Abi Sa’id yang menunjukkan kepada harus mengambil bayaran daripada pengajaran al-Qur'an. Ini kerana di dalam sanad hadis Ubai terdapat pandangan tertentu.(23) 3- Diriwayatkan daripada Abi Idris al-Khawlani katanya: Pernah di sisi Ubai bin Ka’ab beberapa orang di kalangan penduduk Yaman yang diajarkan al-Qur'an oleh beliau, lalu salah seorang daripada mereka memberi sebilah busar yang dijadikan senjata pada perang di jalan Allah, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: "Adakah engkau suka sekiranya Allah mendatangnya di lehermu pada hari kiamat kelak sebagai api.” (24) Aspek istidlal: Amaran Rasulullah s.a.w. kepada Ubai bin Ka'ab daripada mengambil busar sebagai imbalan daripada mengajar al-Qur'an kepada sekumpulan penduduk Yaman tersebut, walaupun digunakannya untuk berjihad di jalan Allah dan ancaman terhadap itu hanya berlaku kepada perkara yang ditegah oleh syara‘. Maka, ia menunjukkan kepada tegahan mengambil bayaran daripada pengajaran al-Qur’an dan ilmu-ilmu agama yang lain. Dalil tersebut disangkal seperti berikut: a. Al-Baihaqi dan Ibnu 'Abd al-Bar berkata: Hadis ini munqati‘ (terputus sanad), dan al-Syawkani berkata: Hadis ini mempunyai beberapa jalan daripada Ubai, namun tiada sesuatu pun yang sabit daripadanya.(25) b. Ibnu Hazm berkata: "Hadis ini munqati‘, kerana tidak diketahui bahawa Abi Idris mendengar daripada Ubai.(26)4- Diriwayatkan daripada 'Abd al-Rahman bin Syibl al-Ansari katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bacalah al-Qur'an, janganlah kamu melampaui batas padanya, janganlah kamu menjauhkan diri daripada membacanya, janganlah kamu makan hasil daripadanya dan janganlah kamu menjadikannya sebagai faktor kehidupan dan kemewahan.” (27) Aspek istidlal: Di dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. melarang daripada makan dan mencari pendapatan daripada hasil al-Qur'an. Tegahan membawa maksud pengharaman sekiranya berlaku tanpa syarat. Maka ia membawa maksud : haram mengambil bayaran terhadap bacaan dan mengajar al-Qur'an. Disangkal pendalilan ini seperti berikut: a. Ibnu Hazm berkata: Di dalam sanad hadis ini ada Abu Rasyid al-Hibrani yang tidak dikenali. (28) b. Al-Syawkani berkata: Sesungguhnya hadis ini lebih khusus daripada punca perselisihan. Ini kerana tegahan daripada memakan daripada hasil al-Qur'an tidak semestinya tegahan daripada menerima apa yang diberikan oleh pelajar secara ikhlas daripada hatinya.(29) 5- Diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengambil sepucuk busar panah terhadap mengajar al-Qur'an, maka Allah akan memakaikannya satu busar daripada api neraka.”(30)6- Sulaiman bin Buraidah meriwayatkan daripada bapanya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca al-Qur'an, dia memakan hasilnya daripada orang ramai, maka dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan wajahnya hanya tulang, tanpa disaluti daging.” (31) Aspek istidlal daripada kedua-dua hadis di atas: Rasulullah s.a.w. memberi ancaman kepada seorang yang mengambil bayaran terhadap bacaan al-Qur'an atau mengajarnya iaitu dia berhak mendapat azab pada hari kiamat disebabkan apa yang diambilnya. Ancaman ini hanya terjadi terhadap perlakuan perkara yang diharamkan. Maka kedua-dua hadis menunjukkan kepada tegahan mengambil bayaran terhadap perkara tersebut. 7- Diriwayatkan daripada ‘Umran bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Bacalah al-Qur'an dan mohonlah kepada Allah dengannya, kerana sesungguhnya akan timbul beberapa kaum yang membaca al-Qur'an tetapi mereka meminta kepada manusia dengannya.”(32) Aspek istidlal: Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada para sahabatnya bahawa tidak sepatutnya mereka meminta daripada pengajaran al-Qur'an, kemudian baginda mengkhabarkan bahawa terdapat kaum daripada umatnya kelak akan muncul dengan membaca al-Qur'an tetapi mereka meminta bayaran daripada orang ramai. Ungkapan hadis menunjukkan bahawa mereka telah melakukan suatu kemungkaran lantaran meminta bayaran terhadapnya daripada selain ganjaran Allah s.w.t. Maka, ini menunjukkan kepada haram membaca al-Qur'an atau mengajarnya dengan bayaran. Disangkal pendalilan ini: Al-Syawkani berkata: Tidaklah terdapat dalam hadis ini melainkan haram meminta kepada orang ramai dengan sebab al-Qur'an. Ini tidak berkait dengan hukum mengambil bayaran daripada mengajarkannya yang merupakan sebab khilaf. (33) Disangkal pendalilan dengan al-Sunnah: Al-Syawkani berkata : Sesungguhnya hadis-hadis yang menghukum sebagai tegahan adalah peristiwa-peristiwa khusus yang berkemungkinan perlu kepada takwil untuk menyelaraskannya dengan hadis-hadis yang sahih yang menunjukkan kepada harus mengambil bayaran terhadap yang demikian. Ia juga kerana hadis tersebut tidak begitu kuat untuk menandingi apa yang terdapat di dalam sahih. (34) Jawapan terhadap sangkalan-sangkalan tersebut:Al-‘Ainiy berkata: Kami tidak dapat menerima ketiadaan wujudnya hujah di dalam hadis-hadis ini. Ini kerana sesungguhnya hadis mengenai busar (Hadis ‘Ubadah) adalah sahih. Di dalamnya terdapat ancaman yang berat dan hadis-hadis lain walaupun antaranya terdapat pertikaian tetapi ia masih menguatkan antara satu sama lain. Sekiranya dua nas bertentangan, salah satunya mengharuskan dan yang lain pula mengharamkan, maka ia menunjukkan bahawa hadis yang mengharamkan itu menasakhkan hadis yang mengharuskan. Ini kerana nasakh merupakan larangan selepas keharusan. Ini kerana harus merupakan asal pada setiap perkara, maka apabila datang larangan, maka itu menunjukkan kepada nasakh tanpa ragu lagi. (35) Kedua: Athar para sahabat: 1- Diriwayatkan daripada Abdullah bin Syaqiq bahawa beliau berkata: “ Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak menyukai jualan mushaf-mushaf, mengajar kanak-kanak dengan bayaran serta mereka memandang besar akan perkara itu.” 2- Diriwayatkan daripada Syu‘bah bahawa ‘Ammar bin Yasir pernah memberi suatu kaum yang membaca al-Qur'an pada bulan Ramadan, lalu perkara itu sampai kepada ‘Umar, lalu beliau tidak menyukainya.” 3- Diriwayatkan daripada Sufyan bahawa Sa'ad bin Abi Waqqas katanya: "Sesiapa yang membaca al-Qur'an, aku akan beri hadiah sehingga dua ribu, lalu Umar berkata: "Atau dia memberi terhadap Kitab Allah sesuatu harga.” (36) Aspek istidlal daripada athar-athar ini: Para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak menyukai mengambil bayaran terhadap bacaan al-Qur'an atau mengajarkannya. Ini tidak berlaku di kalangan mereka melainkan berdasarkan tawqif, kerana tidak ada ruangan untuk ijtihad dalam masalah ini. Ketiga: Hujah akal 1- Sesungguhnya mengajar al-Qur'an dan ilmu-ilmu syari‘at merupakan qurbah kepada Allah dan ia tidak dikira melainkan bagi orang yang melakukannya. Maka, tidak harus mengambil bayaran terhadapnya dengan syarat atau selainnya. Ini kerana mengambil bayaran terhadapnya boleh mengeluarkan perlakuan tersebut daripada menjadi qurbah, sebagaimana solat dan puasa. 2- Tawaran hadiah yang diambil terhadap pengajaran al-Qur'an adalah perkara yang diharamkan sebagaimana tawaran hadiah yang diambil terhadap pengajaran solat. Itu kerana setiap satu daripada kedua-duanya adalah pengajaran wajib ke atas manusia dan tidak diambil sebarang bayaran terhadap pekerjaan yang wajib. 3- Sesungguhnya meminta bayaran terhadap pengajaran al-Qur'an dan ilmu adalah satu faktor yang menyebabkan manusia lari daripada mempelajari kedua-duanya. Ini kerana bebanan bayaran menghalang mereka daripada yang demikian. Oleh sebab itu, Allah s.w.t. mengisyaratkan di dalam firman-Nya: Maksudnya: " Pernahkah engkau (Wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)? [al-Qalam:46] Maka, mengambil bayaran terhadap demikian boleh membawa manusia membenci melakukan ketaatan dan ini tidak harus. Allah swt berfirman: Maksudnya: " Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Qur'an, sedang Al-Qur'an itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran daripada Allah bagi umat manusia seluruhnya." [ Yusuf: 104] Yakni sebarang bayaran terhadap apa yang engkau sampaikan kepada mereka. Rasulullah s.a.w. menyampaikan sendiri dan melalui orang lain. Iaitu ketika mana baginda bersabda: “ Ketahuilah, hendaklah seorang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir." Justeru itu, setiap guru merupakan penyampai bagi pihak Rasulullah s.a.w. Sekiranya baginda tidak diharuskan mengambil sebarang bayaran terhadap apa yang disampaikan oleh baginda sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, maka demikian juga tidak harus bagi seorang yang menyampaikan perintahnya. Ini kerana, itu juga bermaksud penyampaian daripada baginda. Perbincangan dan tarjih:Selepas pembentangan dalil-dalil bagi kedua-dua mazhab, sanggahan-sanggahan yang didatangkan oleh kedua-dua belah pihak serta jawapan terhadap sebahagian daripada sanggahan-sanggahan tersebut dan penolakan terhadap jawapan, maka saya berpendapat bahawa mazhab yang mengatakan harus memberi bayaran dan mengambil bayaran terhadap pengajaran al-Qur'an dan ilmu-ilmu agama yang lain lebih rajih daripada mazhab yang kedua iaitu tidak mengharuskannya. Ini berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:a. Kekuatan dalil-dalil yang dikemukakan oleh pendukung pendapat ini yang terdiri daripada dalil al-Sunnah dan rasional hujah akal mereka. Manakala istidlal dengan athar-athar yang diriwayatkan daripada para sahabat dalam masalah ini tidak boleh dijadikan hujah kerana ia bercanggah antara satu sama lain. Oleh itu, athar-athar itu digugurkan dan tidak boleh dijadikan hujah. Demikian juga ijma‘ ahli Madinah atau selain mereka dalam masalah ini. Ini kerana sabitnya khilaf di kalangan fuqaha ahli Madinah dan lain-lain sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Demikian juga tiada kaitan antara mengambil sara hidup daripada Bayt al-Mal terhadap yang demikian dan mengambil bayaran daripada mana-mana individu Muslimin. Maka, hujah akal mereka yang kedua itulah yang membawa implikasi dalam menguatkan pandangan mereka. b. Hujah daripada al-Sunnah yang dijadikan dalil oleh mazhab yang pertama ini tidak dapat dipatahkan dengan sangkalan-sangkalan yang dikemukakan. Ini kerana sangkalan terhadap istidlal dengan hadis ruqyah mudah ditolak, dengan hujah: membezakan hukum antara mengambil imbalan daripada hasil jampian dengan al-Qur'an dan mengambilnya daripada hasil mengajar al-Quran dan ilmu-ilmu agama yang lain adalah hukuman tanpa menggunakan dalil syar‘ei, bahkan dalil yang wujud adalah menyalahinya iaitu apa yang dinyatakan di dalam hadis Ibnu ‘Abbas mengenai sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya: “ Sesungguhnya yang paling patut kamu mengambil imbalan ialah kitab Allah”. Lafaz nas secara umumnya menunjukkan kepada harus mengambil bayaran terhadap kitab Allah secara mutlak, sama ada bayaran itu imbalan daripada membacanya, atau berjampi dengannya atau mengajarkannya atau menyalinnya atau menerangkan hukum-hakamnya atau sebagainya daripada pekerjaan-pekerjaan yang bersangkut dengan Kitab Allah yang mulia itu. Maka lafaz ini menepati semua perkara yang tersebut itu. c. Manakala dalil daripada al-Sunnah yang dikemukakan oleh mazhab yang kedua dapat disangkal dengan mudah oleh sesetengah ulama. Walaupun Al-‘Aini menjawab semula terhadap sangkalan-sangkalan tersebut bahawa sebahagian daripada hadis tersebut adalah sahih, sebahagian yang lain walaupun terdapat pandangan melainkan ia menguatkan sebahagian yang lain. Sekiranya kita menerima kesahihannya, maka akan termaktub di atas dasar tersebut wujudnya pertentangan yang jelas dengan hadis-hadis yang sahih yang dijadikan dalil oleh pendukung mazhab yang pertama. Oleh sebab itu, jalan yang terbaik ialah mengkombinasikannya. Namun, dalam proses mengkombinasikan di antara kedua-kedua hadis itu, kita tidak boleh berpendapat sebagaimana pendapat al-‘Aini iaitu: "Apabila datangnya dalil yang mengharamkan selepas dalil keharusan, maka ini menunjukkan kepada pemansuhan yang mengharamkan bagi yang mengharuskan," tetapi kita berpendapat sebagaimana pendapat kebanyakan ulama: Sesungguhnya hadis-hadis yang menunjukkan kepada tegahan mengambil bayaran terhadap pengajaran adalah permasalahan a‘yan (permasalahan yang khusus), yang mengandungi beberapa kebarangkalian, antaranya:i. Kemungkinan ia menjurus kepada kewajipan mengajar terhadap orang yang wajib belajar agar ilmu itu dilaksanakan. Maka berlakulah ancaman yang keras sekiranya diambil bayaran daripada mereka. Maka, tidaklah harus bagi sesiapa yang mengajar mengambil bayaran daripada orang yang diajar. ii. Ia juga berkemungkinan sebagai galakan agar menjadi tugas mengajar itu semata-mata demi mengharapkan keredaan Allah dan pahala-Nya tanpa mengambil bayaran. iii. Kemungkinan juga ia bermaksud bahawa mengambil bayaran daripada mereka secara khusus adalah makruh kerana keperluan hidup dan kefakiran mereka.iv. Kemungkinan juga ia bermaksud selain daripada itu sebagaimana diperkatakan oleh para ulama. Antara para ulama yang mengambil sikap mengkombinasikan di antara hadis-hadis yang bertentangan ialah Ibnu Qudamah. Menurutnya: Sesungguhnya hadis-hadis yang menunjukkan kepada tegahan daripada mengambil bayaran adalah permasalahan a’yan yang berkemungkinan boleh ditakwil. Maka ia berkemungkinan bahawa Nabi s.a.w. hendak mengajar ‘Ubadah bin Samit dan Ubai bin Ka‘ab agar melakukan tugas tersebut secara ikhlas kerana Allah. Maka baginda tidak menyukai diambil bayaran daripadanya selain daripada ganjaran Allah s.w.t., dan kemungkinan ia bermaksud selain yang demikian.”d. Hujah-hujah akal yang dikemukakan oleh mazhab yang kedua adalah hujah yang lemah. Qiyas yang dikemukakan oleh mereka bagi hukum mengambil bayaran terhadap pengajaran al-Qur'an dengan hukum mengambil bayaran terhadap solat dan puasa daripada orang lain adalah qias yang tidak tepat (قياس مع الفارق). Ini kerana hukum asal merupakan masalah khilaf di kalangan fuqaha sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab-kitab fiqh. Perkara khilaf tidak boleh dijadikan asas qiyas terhadap perkara yang lain.Nota kaki: - Rad al-Muhtar (2/240); al-Bahr al-Raiq (3/64); Syarh al-Khursyi' dan Hasyiyah al-'Adawi, (2/296); Mughni al-Muhtaj (2/344); Zad al-Muhtaj (2/379); al-Mughniy (3/231) dan (5/556); al-Kafi (2/303); al-Muhalla (8/190, 194); 'Umdah al-Qari'(12-95) dan 'Aun al-Ma 'bud (2/24).
- Tabyin al-Haqaiq (5/124); al-Bada'ei' (4/191); Mawahib al-Jalil min Adillat Khalil ( 4/128); al-Mughni ( 5/555 dan 559); al-Insaf ( 6/46); Kasyf al-Qina' ( 4/12); al-Muhalla ( 8/194 & 195); 'Umdah al-Qari (12/95)
- Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya (lihat 'Umdah al-Qari ( 21/264)
- Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya ( Lihat 'Umdah al-Qari ( 12/99)
- Al-Mughni (5/557)
- 'Umdah al-Qari (12/96)
- Diriwayatkan oleh al-Bukhari ( 7/22) dan Muslim ( 2/ 1040)
- 'Umdah al-Qari (12/96)
- Lihat Sunan al-Nasaéi (6/14)
- Al-Mughni (5/557)
- Nayl al-Autar (5/325)
- Kedua-dua athar ini diriwayatkan oleh Ibn Hazm dengan sanadnya di dalam al-Muhalla (8/195)
- Al-Fawakih al-Dawani (2/164)
- Al-Mughni (5/556)
- Tabyin al-Haqaiq (5/124) & al-Bahr al-Raiq (3/165)
- Bulghah al-Salik (2/274) & al-Fawakih al-Dawani (2/164)
- Dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak. Menurutnya: Sanadnya adalah sahih berdasarkan syarat al-Syaikhan walaupun kedua-duanya tidak meriwayatkannya (al-Mustadrak (1/101)
- Ahl al-Suffah ialah sekelompok daripada Muhajirin yang tidak mempunyai tempat tinggal dan keluarga di Madinah. Tempat tinggal mereka ialah di suffah masjid Nabawi yang merupakan tempat yang beratap yang didirikan untuk Muslimin yang lemah. Bilangan mereka hamper mencecah 400 orang lelaki. Mereka mencari rezeki pada waktu siang dan menuju ke Suffah pada waktu malam ( al-Hulyah (1/340). Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim daripada segi maknanya dan mengakui akan kesahihan sanadnya. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Daud. Namun begitu, Ibnu Hazm dan al-Syawkani menganggap sanadnya lemah. (lihat al-Mustadrak: 3/356; al-Fath al-Rabbani: 15/125; Sunan Ibnu Majah: 2/ 730; Sunan Abi Daud : 2/ 237; al-Muhalla : 8/194 dan Nail al-Autar : 5/323).
- Al-Muhalla: 8/196.
- Nail al-Autar : 5/323.
- Subul al-Salam : 923.
- Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Humaid dan Ibnu Majah (Musnad Ibnu Humaid: 1/91 dan Sunan Ibnu Majah: 2/730)
- Kasyf al-Qina' : 4/12.
- Dikeluarkan oleh al-Ithram dan Ibnu Hazm. Beliau berkata: munqati' kerana tidak diketahui bagi Abu Idris pendengarannya daripada Ubai. Seperti itu juga pandangan al-Baihaqi dan Ibnu Ábd al-Bar. Al-Syawkani dan Ibnu al-Qattan berkata : Hadis itu mempunyai beberapa jalan daripada Ubai tetapi tiada sesuatupun yang sahih daripadanya. ( Talhis al-Habir 4/8; al-Muhalla (8/194) dan Nail al-Autar (5/323).
- Talkhis al-Habir (4/8) dan Nail al-Autar (5/323)
- Al-Muhalla : 8/195.
- Umdah al-Qari (21/264). Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahamd, Abu Ya'la, Al-Tabrani, Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Hazm. Al-Haithami berkata: Para perawinya thiqah (dipercayai). [al-Fath al-Rabbani : 15/125; Majma' al-Zawaid: 4/ 73; al-Muhalla: 8/195 dan Nail al-Autar: 5/322.
- Al-Muhalla : 8/ 196.
- Nail al-Autar : 5 / 324.
- Al-Haithami berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam Mu'jam al-Kabir dan para perawinya adalah para perawi di dalam sahih melainkan al-Walid bin Muslim tetapi dia bukannya di kalangan orang yang daif. (Majma' al-Zawaid: 4/ 95).
- Dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuáb. Ibnu Abi Hatim berkata: Tiada asal baginya (Úmdah al-Qari : 12/ 96; Faidh al-Qadir: 6/ 196)
- Dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi dan Ibnu Abi Syaibah. Menurut al-Tirmizi: Hadis hasan, sanadnya bukannya sedemikian. (al-Fath al-Rabbani : 15/125; Sunan al-Tirmidhi : 8/119 dan Musannif Ibn Abi Syaibah : 10/480)
- Nail al-Autar: 5/326.
- Nail al-Autar: 5/326.
- 'Umdah al-Qari : 12/ 96.
- Dikeluarkan oleh Ibn Hazm dengan sanadnya di dalam al-Muhalla : 8/195.