Berjabat salam selepas solat bid’ah yang sesat?



Bukahkan bersalam itu menambah kasih sayang dan kemesraan di kalangan Muslimin?. Cuba teliti hadis-hadis ini:

1. Diriwayatkan daripada Yazid bin al-Aswad r.a. bahawa beliau pernah mengerjakan solat Subuh bersama Nabi s.a.w. dan berkata: kemudian orang ramai berebut-rebut memegang tangan baginda dan mereka menyapukan tangan baginda itu akan muka mereka, lalu aku juga memegang tangan baginda, lalu aku sapukan tangan itu akan mukaku, lalu aku dapati tangan itu lebih sejuk daripada salji dan lebih harum wangiannya daripada kasturi.”

Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah r.a. katanya: Kemudian Rasulullah s.a.w. bersolat zohor dua rakaat dan asar dua rakaat dan di hadapannya ada seekor kambing betina, seorang perempuan melintasi di belakang kambing itu. Orang ramai bangun lalu mereka memegang kedua tangan baginda, lalu mereka menyapunya akan muka mereka. Abu Juhaifah berkata: Lalu aku memegang tangan baginda, lalu aku meletakkannya di atas mukaku, lalu aku dapati tangan itu lebih sejuk daripada salji dan lebih harum wangian daripada kasturi.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari (bil. Hadis: 3360)

2. al-Barra’ bin Azib r.a. berkata: “
Antara kesempurnaan penghormatan ialah engkau berjabat tangan dengan saudaramu.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (bil.: 968)

3. Diriwayatkan daripada Qaldah bin Da’amah al-Dawsi r.a. katanya: Aku bertanya kepada Anas r.a.” : Adakah adanya bersalam-salaman di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.? Beliau menjawab: Ya?

4. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Tatkala datang penduduk Yaman, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya kamu telah didatangi penduduk Yaman, dan mereka adalah orang yang mula-mula membawa (sunnah) bersalam-salaman.” Diriwayatkan oleh Abu Daud (bil. Hadith: 5213) dan al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (967)

5. Daripada al-Barra’ bin ‘Azib r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda : Tidak dua orang muslim bertemu, lalu mereka berdua bersalam-salaman melainkan kedua-dua akan diampuni sebelum mereka berpisah.”

Ketiga-tiga hadis yang terakhir ini lebih umum bagi menyatakan kedudukan bersalam-salaman di dalam syariat, dan hokum ini merangkumi bersalam-salaman selepas solat dan pada mana-mana waktu. Manakala kedua-dua hadis yang awal lebih khusus dan menerangkan keharusan bersalam-salaman selepas solat khasnya.

Pandangan para ulama:
1-Imam al-Tahawi menyatakan di dalam Hasyiah Maraqi al-Falah, “Dituntut bersalam-salaman yang hukumnya sunat selepas mana-mana solat dan ketika setiap kali bertemu.”
2-Berhubung dengan hokum bersalam-salam selepas solat juga ,Syeikh Abd al-Ghani al-Nablusi berkata, “Sesungguhnya persoalan tersebut termasuk di bawah hukum am sunatnya bersalam-salaman secara mutlak.”
3- Syeikh Izzuddin bin Abdus Salam berkata, “ Bersalam-salam (selepas solat) termasuk di dalam kategori bida’ah yang harus.”
4- al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Sesungguhnya bersalam-salaman (selepas solat) adalah bid’ah yang harus.

Justeru, teruskan budaya ini termasuk juga doa : “Taqabbalallahu..” kepada saudara-saudara kita selepas solat kerana kedua-duanya tersebut mengandungi kebaikan yang banyak dan bertambah rasa ta’aruf, kasih-sayang serta menjadi sebab tertautnya hati-hati kita. Akhirnya terbentuklah kesatuan dan perhubungan di antara Muslimin. Jangan peduli kata-kata orang yang menolaknya!

KULIAH AL-HADITH : KEHORMATAN MUSLIM

Hadis ke 8

Daripada Ibn ‘Umar r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda : “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Maka jika mereka melakukan semua itu, akan terselamatlah darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka terserahlah kepada Allah Ta'ala.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]


Biografi Perawi (Sahabat):


Abdullah bin Umar memeluk Islam bersama ayahandanya di Makkah ketika masih kecil. Beliau mengikut bapanya berhijrah ke Madinah. Beliau dikategorikan antara fuqaha, orang bertaqwa dan orang yang zahid di kalangan para sahabat. Menunaikan haji sebanyak 60 kali dan berumrah sebanyak 1000 kali. Telah membebaskan 1000 orang hamba dan menunggang 1000 ekor kuda untuk berperang di jalan Allah s.w.t. Beliau juga pernah dihadiahkan 22,000 dinar di dalam suatu majlis, tetapi belum sempat dia bangun dari majlis itu melainkan dia telah mengagihkan wang itu kepada semua hadirin. Kelebihannya terlalu banyak.


Kedudukan hadis:


Hadis ini sangat besar peranannya kerana ia menjadi nas kepada beberapa kaedah dan asas agama. Antaranya persoalan Tawhid, solat, zakat, jihad di jalan Allah dan kewajipan-kewajipan lain di dalam Islam. Juga menjadi nas kepada kehormatan darah dan harta seorang Muslim.


Kewajipan Berperang


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia...” Yang memerintah kepada baginda ialah Allah ‘Azza wa Jalla. Firman Allah Ta’ala:


Maksudnya:

“ Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. (Ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” [al-Baqarah: 216]


Allah s.w.t. mewajibkan berperang kepada umat Islam. Peperangan itu bertujuan menangkis tipu daya musuh dan meninggikan panji-panji akidah Islam, sehingga menjadi penaung kepada semua umat manusia di atas muka bumi. Islam hanya membenarkan ahli Kitab meneruskan ritual agama mereka dengan syarat membayar jizyah. Manakala, orang musyrik di kalangan penyembah berhala sama ada di kalangan bangsa Arab atau lain-lain, mereka hanya selamat dengan memeluk agama Islam atau berperang. Al-Zuhri berkata, “Jihad itu wajib ke atas setiap seorang (Muslim). Sama ada dia berperang atau duduk (tidak keluar berperang). Orang yang duduk, apabila diminta bantuan agar membantu, maka dia wajib membantu. Apabila diminta untuk keluar berperang, maka dia wajib keluar berperang. Sekiranya dia tidak diperlukan, maka dia boleh duduk.”


Golongan yang terpelihara darah dan harta:


Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa orang yang terpelihara darah daripada sebarang pertumpahan darah ialah:


1. Menuturkan dua kalimah syahadah :


Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:

“… Sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah...” Ibnu Rejab berkata, “Antara perkara yang diketahui umum bahawa Nabi s.aw. hanya menerima lafaz dua kalimah syahadah daripada seorang yang datang kepada baginda untuk memeluk agama Islam. Dengan sebab itu, maka darahnya terpelihara dan menjadikannya seorang Muslim. Justeru itu, baginda sangat mengengkari perlakuan Usamah bin Zaid kerana membunuh seorang yang mengucap dua kalimah syahadah ketika dia mengangkat pedang terhadapnya. Tidak pernah Rasulullah s.a.w. meletakkan syarat lain kepada seorang yang datang kepada baginda untuk memeluk agama Islam, kemudian barulah baginda mewajibkan solat dan zakat.


2. Mendirikan solat.


Hal tersebut kerana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “…dan mendirikan solat...” Maksudnya ialah mereka sentiasa menunaikannya dan mengikut syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Manakala solat yang dimaksudkan disini ialah solat fardu. Imam al-Nawawi berkata, “Di dalam hadis ini ada menyatakan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia dihukum bunuh.


Selain itu, antara dalil yang menyatakan bahawa seorang yang meninggalkan solat, darahnya tidak terhormat ialah firman Allah s..w.t. :


Maksudnya:

Kemudian jika mereka bertaubat (daripada kekufurannya) dan mendirikan solat serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” [al-Tawbah: 5]


Ayat yang mulia ini termasuk antara dalil bagi mereka (para ulama) yang berpendapat bahawa dihukum bunuh seorang yang meninggalkan solat sekiranya dia tidak mahu bertaubat.

Antara dalil lain juga; Rasulullah s.a.w. bersabda :

إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون، فمن كره فقد برئ، ومن أنكر فقد سلم، ولكن من رضي وتابع، قالوا يا رسول الله : ألا نقاتلهم، قال: لا ما صلوا". رواه مسلم


Maksudnya:

“Akan ada para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar tersebut) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa). Namun (yang berdosa ialah) sesiapa yang reda dan menuruti (perbuatan munkar)”. Para Sahabat bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak selagi mana mereka bersolat” (Riwayat Muslim).


Sabda baginda (لا ما صلوا) yang bermaksud: “Tidak selagi mereka bersolat”, menunjukkan bahawa solat menjadi penghalang agar tidak diperangi para pemimpin yang zalim.


Antaranya, ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri katanya:

Ali pernah mengutuskan sekeping emas (yang belum lagi diproses) pada masa beliau berada di Yaman, lalu emas itu dibahagikan di antara empat orang. Tiba-tiba, seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, bertaqwalah kepada Allah.” Baginda menjawab, “Celaka engkau, bukankah aku adalah orang yang paling patut bertaqwa kepada Allah di kalangan penduduk bumi ini? Kemudian lelaki itu beredar. Lalu, Khalid bin al-walid berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku boleh memenggal lehernya? Baginda menjawab, “Tidak, kemungkinan dia seorang yang bersolat.”


Sabda Rasulullah yang bermaksud : “ Tidak kemungkinan dia seorang yang bersolat” menjadi dalil bahawa solat menjadi sebab terpeliharanya darah di samping perkara lain yang disebut di dalam hadis yang lain.


Antara ulama yang berpendapat bahawa dihukum bunuh seorang yang tidak mengerjakan solat ialah Imam Malik, al-Syafie, Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Ibnu Mubarak, Ibnu Taimiyah, al-Syaukani dan lain-lain. Tetapi sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa hukuman bunuh itu dilaksanakan kerana murtad dan ada di kalangan mereka yang berpendapat bahawa hukuman bunuh itu sebagai hukum hudud.


Menurut al-Albani, sesungguhnya seorang yang meninggalkan solat kerana malas, sesungguhnya masih sah dihukumnya sebagai orang Islam selagi mana tidak terdapat sesuatu yang menyingkap apa yang terkandung di dalam hatinya atau suatu yang menunjukkan kepadanya dan dia mati dalam keadaan itu sebelum diminta bertaubat sebagaimana yang menjadi realiti pada zaman ini. Manakala, sekiranya dia diberi pilihan antara dihukum bunuh atau bertaubat iaitu dengan kembali memelihara solat, lalu dia memilih untuk mati dibunuh, lalu dibunuh, maka pada situasi tersebut, dia dikira mati dalam keadaan kafir dan tidak dikebumikan di perkuburan Muslimin serta tidak dilaksanakan hukum-hakam sebagai orang Islam. Ini kerana adalah tidak masuk akal seandainya dia tidak menolaknya di dalam hati tergamak dia memilih untuk dihukum bunuh atas dasar itu. Perkara ini adalah suatu yang mustahil dan diketahui umum melalui tabiat insan yang tidak perlu disabitkan dengan bukti.”


3- Mengeluarkan zakat:


Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “…dan mengeluarkan zakat.” Maka seorang yang menunaikan zakat terpelihara darah dan hartanya. Seorang yang mengengkari kewajipannya, maka dia jatuh kafir dan terkeluar daripada agama. Sesiapa yang enggan menunaikannya tetapi masih beriktiqad akan wajibnya, maka dia berdosa dan tidak terkeluar daripada agama.


Namun, pemimpin umat Islam wajib mengambil zakat daripadanya secara paksa. Seandainya suatu kaum enggan mengeluarkan zakat tanpa mengengkari kewajipan sedangkan mereka mempunyai kekuatan dan kekebalan, maka wajib bagi pemimpin umat Islam memerangi mereka atas dasar itu sehingga mereka menyerahkan zakat itu. Antara nas yang membuktikan yang demikian ialah:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Tatkala wafatnya Rasulullah s.a.w., dan digantikan dengan Abu Bakar, dan terdapat di kalangan bangsa Arab yang menjadi kafir, lalu Umar berkata: “ Kenapa engkau hendak memerangi orang tersebut? Sedangkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “ Aku diperintah memerangi manusia sehinggga mereka mengucap “ Tiada tuhan melainkan Allah.” Maka sesiapa yang mengucapnya, maka terpelihara harta dan dirinya daripadaku melainkan dengan haknya dan perhitungannya adalah tanggungjawab Allah.” Maka Abu Bakar berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku tetap akan memerangi seorang yang membezakan di antara solat dan zakat. Ini kerana zakat adalah hak (kewajipan) daripada harta. Demi Allah, seandainya mereka menahan daripadaku seutas tali yang mereka menunaikannya kepada Rasulullah s.a.w. nescaya aku akan memerangi mereka kerana mereka menegahnya. Maka Umar berkata: Maka, demi Allah hal itu tidak lain melainkan Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk berperang. Maka aku faham bahawa itu adalah kebenaran.”


Antara yang menjadi dalil juga ialah Firman Allah s.w.t.:


Maksudnya:

kemudian jika mereka bertaubat (daripada kekufurannya) dan mendirikan solat serta memberikan zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. [ al-Tawbah: 5]


Abu Bakar ibn al-Arabi berkata selepas menyebut ayat ini, “ Ia adalah dalil yang sahih terhadap apa yang berlaku pada Abu Bakar al-Siddiq yang dikaitkannya terhadap ahl riddah (orang yang murtad pada kata-katanya: “ Aku tetap akan memerangi sesiapa sahaja yang memisahkan di antara solat dan zakat. Ini kerana zakat adalah hak harta.” Ini kerana Allah Ta’ala mengaitkan ismah (selamat dari dibunuh) dengan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, lalu dia mengaitkan dengan kedua-duanya.”


4- Beriltizam dengan hak-hak Islam yang lain


Abu Bakar r.a. mengambil rumusan daripada hadis Rasulullah s.a.w : “…melainkan dengan hak Islam” bahawa wajibnya memerangi orang yang enggan mengeluarkan zakat. Beliau berkata: Demi Allah, aku tetap akan memerangi sesiapa sahaja yang membezakan di antara solat dengan zakat. Ini kerana zakat adalah hak harta.”


Di kalangan ulama ada yang berpendapat bahawa diperangi juga orang yang enggan menunaikan haji dan berpuasa berdasarkan sabdanya: “ …melainkan dengan hak Islam”. Said bin Jubair berkata: Umar bin al-Khattab berkata: “Seandainya orang ramai meninggalkan haji, nescaya kita akan memerangi mereka sebagaimana kami memerangi mereka kerana solat dan zakat.” Ibnu Rejab berkata, “Kata-kata ini pada hukum memerangi satu kumpulan yang enggan menunaikan sesuatu daripada kewajipan. Seandainya seorang sahaja yang enggan, maka kebanyakan ulama berpendapat bahawa dihukum bunuh terhadap seorang yang enggan menunaikan solat.


Dikirakan juga sebagai hak kewajipan Islam ialah seandainya seorang Muslim melakukan sesuatu yang boleh dihalalkan darah (dihukum bunuh) seperti membunuh suatu nyawa yang diharamkan oleh Allah, berzina selepas kahwin dan murtad.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

لا يحل دم امرئ مسلم يشهد أن لا إله إلا الله وأني رسول الله، إلا بإحدى ثلاث: الثيب الزاني والنفس بالنفس والتارك لدينه المفارق للجماعة. (رواه البخاري ومسلم)


Maksudnya:

Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah melainkan disebabkan salah satu daripada tiga perkara berikut: Seorang yang berkahwin yang berzina, membunuh jiwa dan seorang yang keluar dari agama serta memisahkan diri daripada kesatuan umat Islam.”


Maka seorang yang mengucap dua kalimah syahadah, bersolat dan berzakat, serta mengerjakan kewajipan-kewajipan agama, serta tidak melakukan sesuatu yang mengharuskan darahnya, maka darah dan hartanya terpelihara. Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Sesiapa yang melakukannya, maka dia terpelihara daripada darah dan harta mereka.”


Hukum-hakam berlaku ke atas perkara yang zahir, Allah menyuluh yang batin:


Rasulullah s.a.w. bersabda : “ Perhitungan mereka diserah kepada Allah Ta’ala”. Seorang yang menzahirkan Islam kepada kita dan melakukan apa yang diwajibkan ke atasnya, maka dipelihara darah dan hartanya, serta diperlakukan sebagai orang Muslim.


Maka sekira qasad islamnya itu kerana Allah dan hari akhirat maka dia adalah mukmin, dia akan mendapat balasan yang setimpal pada hari kiamat kelak. Tetapi seorang yang qasad Islamnya hanya taqiyyah (melepaskan diri) daripada hukuman bunuh, maka dia adalah seorang munafiq yang diserahkan persoalan batinnya kepada Allah. Demikian juga seorang yang bersolat tanpa taharah atau tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan makan di rumahnya sedangkan dia mendakwa sedang berpuasa, maka dihukum mengikut keadaan zahirnya dan diserahkan hakikat batinnya kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. telah memperlakukan hukum-hakam Islam terhadap orang munafik walaupun baginda mengetahui sifat nifaq mereka.


Faedah yang dapat dicungkil daripada hadis:


1- Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Memadai penerimaan iman itu dengan iktiqad yang jazam.” Walaupun pendapat ini bercanggah dengan ulama yang mewajibkan belajar dalil.

2- Ibnu Rejab berkata : Sabdanya: “..terpeliharalah darah dan harta mereka daripadaku.” Menunjukkan bahawa sekiranya berpegang di atas pendapat ini, maka kita diperintahkan berperang dan membunuh sesiapa yang enggan menerima Islam. Perintah ini semuanya berlaku selepas hijrah ke Madinah.

3- Apa yang terdapat di dalam hadis ini merupakan penolakan kepada golongan Murjiah yang mendakwa bahawa iman tidak memerlukan kepada amalan. Oleh kerana itu, Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam kitab Iman bagi menolak pegangan mereka.

4- Di dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa diterima amalan zahir dan hukuman untuk mereka berdasarkan zahir tersebut, manakala soal batin diserahkan kepada Allah.

5- Diambil kesimpulan juga daripada hadis ini bahawa tidak boleh mengkafir ahli bid’ah yang masih menyakini keesaan Allah dan menegakkan hukum-hakam syariatnya.

KHATAM AL- NUBUWWAH



Antara keistimewaan yang terdapat pada fizikal Rasulullah s.a.w. ialah di antara dua bahu Nabi s.a.w. tertera “cap kenabian” (Khatam al-Nubuwwah). Tanda itu timbul di belakang Rasulullah s.a.w. sebesar telur burung merpati.

Al-Qurtubi berkata : “ Hadis-hadis yang sahih seia sekata menyatakan bahawa cap kenabian itu adalah suatu yang timbul berwarna merah terletak dekat dengan bahu sebelah kiri. Saiznya ketika kecil ialah sebesar telur burung merpati dan membesar sekadar segenggam tangan.” (al-Manawi, Faidh al-Qadir)

Menurut para sahabat yang pernah melihat cap kenabian tersebut :
  1. Al- Sa’ib bin Yazid menceritakan: “Ibu saudaraku membawaku mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Sesungguhnya anak saudaraku ini sakit,” lalu baginda pun mengusap kepalaku dan mendoakan keberkatan untukku. Kemudian baginda berwuduk, lalu aku meminum air yang menitis dari wuduknya, lalu aku berdiri di belakangnya dan aku melihat Khatam al-Nubuwah di antara dua belikatnya, keadaannya seperti telur al-Hajalah (sejenis burung) [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
  2. Daripada Jabir bin Samurah r.a., katanya: “…Aku melihat satu cap di bahunya, kira-kira sebesar telur merpati. Cap itu serupa dengan warna tubuh baginda.” [Riwayat Muslim]

Di dalam Syarah al-Barzanji menyatakan: Ia (cap kenabian) adalah daging atau lemak yang hitam (nampak timbul) bercampur kekuningan (seperti urat), kelilingnya itu ada rerambut (bulu roma) yang beriring-iringan seolah-olahnya bulu kuda (yang halus).

‘Allamah al-Zurqani dalam kitab Al-Mawahib al-Laduniyyah Syarah ‘ala al-Syamail al-Muhammadiyyah berkata: al-Hakim al-Tirmizi berkata, “ Ia bagaikan telur burung merpati. Di dalamnya tertulis kalimah yang bermaksud, “Allah Esa, Tiada Sekutu Bagi-Nya” dan di luar pula tertulis , “Pergilah (Wahai Muhammad) ke mana engkau mahu dan sesungguhnya engkau Muhammad akan dibantu.” Di dalam kitab Tarikh al-Naisabur pula ada menyebut, “ Di dalamnya juga tertulis dengan daging tubuh baginda : Muhammad Rasulullah.” ( Juzuk 1/ hlm. 85)

Di samping membanyakkan solawat kepada Rasulullah s.a.w., sesetengah ulama membuat lakaran Khatam Nubuwwah tersebut untuk bertabarruk dengan memandangnya demi menambah kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Al-Tirmizi al-Hakim berkata, “Sesiapa yang berwuduk, lalu melihat (lakaran) khatam ini di waktu subuh, nescaya dia akan dipelihara oleh ALLAH Ta’ala sehingga ke petang. Sesiapa yang melihatnya di waktu maghrib, nescaya dia akan dipelihara oleh ALLAH Ta’ala sehigga ke waktu subuh. Sesiapa yang melihatnya ketika awal bulan ,nescaya dia akan dipelihara oleh ALLAH Ta’ala sehingga ke akhir bulan. Sesiapa melihatnya pada awal tahun, nescaya dia akan dipelihara oleh ALLAH Ta’ala sehingga ke akhir tahun daripada bala dan bencana. Sesiapa yang melihatnya ketika bermusafir, nescaya safar itu akan diberkati oleh ALLAH Ta’ala. Sesiapa yang mati pada tahun tersebut, Allah akan mengakhirkan baginya dengan mati dalam iman, bahkan aku (al-Tirmizi) berharap kepada ALLAH Ta’ala, bahawa sesiapa melihatnya (khatam ini) dengan benar kecintaannya kepada Nabi s.a.w. dan keimanan yang benar, sepanjang umurnya, nescaya ALLAH Ta’ala akan memeliharanya daripada segala apa yang tidak disukai sehingga dia bertemu dengan ALLAH Ta’ala.( Syarah al-Barzanji: halaman 52) Wallahu a’lam.


[Karya seni di atas dihasilkan sebagai pelekat kereta hanyalah sekadar suatu ekspresi seni terbitan YR Publications menggabungkan variasi khat Thuluth dan Nasakh serta motif bunga tempatan seperti jejarum dan kesidang. Apa yang penting untuk difahami melalui stiker ini ialah kekuatan tauhid, iman dan yakin kepada Allah serta keimanan dan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. itulah sebenarnya pendinding diri dan juga dorongan serta semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan soleh yang dianjurkan Islam.]

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KHAZANAH HIKMAH |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net