Ucapan Syukur



SEMUANYA adalah kehendak Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. (al-Kahfi: 39)

Keterangan


Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang melihat sesuatu yang mengkagumkan, maka hendaklah dia menyebut " Masya Allah, La quwwata Illa Billah", nescaya dia tidak akan dimudaratkannya." (Diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni di dalam 'Amal al-Yaum wa Lailah)

Al-Imam Abu Muhammad al-Qadhi al-Hussein menceritakan dalam kitabnya al-Taliq Fil Mazhab bahawa, pada zaman dahulu, seorang nabi yang merasa kagum dengan bilangan umatnya yang ramai lalu dalam sekelip mata seramai 70,000 umatnya telah meninggal dunia.

Lantaran itu, Allah SWT telah mewahyukan kepadanya: "Jika kamu meminta perlindungan Allah dengan membaca doa -seperti di atas- tentulah Allah akan memelihara mereka."

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, amatlah dituntut ke atas setiap individu yang merasa kagum terhadap ni'mat Allah yang dianugerahkan kepadanya seperti kebun, tanah, rumah, harta, keluarga dan anak-anaknya agar membaca doa ini. Semoga dipelihara Allah daripada segala bencana. (al-Wabil al-Sayyib, Bab Zikir dan yang dibaca untuk terus mendapat ni'mat)

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Amalkan membaca zikir di atas apabila melihat sesuatu yang mengkagumkan agar terpelihara daripada kejahatan 'ain' (pandangan mata yang jahat) . (al-Fath al-Bari, bab Ruqyah al-'Ain. Al-Azkar, Bab Apabila Melihat Sesuatu Yang Menakjubkan pada Diri, Anak atau Harta, Lalu Dia Merasa Takut akan 'ain (pandangan mata yang jahat)

MAZHAB AL-SYAFI'E MENURUT PENILAIAN AL-IMAM AL-SUYUTI














Gambar : Makam al-Imam al-Syafi'e di Qaherah

Sekiranya dibuat penilaian yang teliti, maka didapati Mazhab al-Syafi’e adalah mazhab yang terbaik. Ini kerana mazhab ini lebih hampir menepati hadis-hadis dan lebih memberi keutamaan kepada berpegang dengan hadis daripada berpegang dengan al-ra’yu (ijtihad).

Menurut Ibn al-Subki di dalam “Syarah Mukhtasar Ibn al-Hajj” pada penutup bab ijtihad dan taqlid katanya, “Terdapat ramai imam-imam kami yang sangat warak.”

Berhubung dengan persoalan hukum bertaklidkan Imam al-Syafi’e, menurut Imam al-Haramain, Ibnu Sam’ani, al-Ghazali, al-Kiya (al-Harrasi) dan para muhaqqiq cenderung mengatakan bahawa: bertaqlid kepada Imam al-Syafie adalah wajib ke atas golongan awam. Tiada keuzuran di sisi Allah untuk berpaling daripadanya.

Persoalan ini juga yang dijelaskan oleh Imam al-Haramain di dalam satu karangannya yang khusus memperkatakan mengenai persoalan ini dan jodolnya ialah Mughith al-Khalq Fi Ikhtiyar al-Akhaq.

Al-Ustaz Abu Mansur Abd al-Qahir bin Tahir al-Tamimi di dalam kitabnya, “ Adapun elemen yang menjadikan mazhab al-Syafie lebih utama daripada mazhab-mazhab lain secara umum sebelum dihuraikan secara detail adalah berdasarkan kepada banyak dalil. Antaranya ialah:

1. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
Para imam (pemimpin) mestilah daripada keturunan Quraisy.”

Hadis di atas menyebut secara umum, tanpa mengkhususkan kepada pemimpin Negara sahaja. Juga termasuk dalam kategori para pemimpin ialah imam-imam dalam agama. Kita tidak mendapati di kalangan imam-imam mujtahid yang berketurunan Quraisy melainkan Imam al-Syafie. Sedangkan Imam Abu Hanifah berketurunan al-mawla (bekas hamba). Imam Malik berketurunan daripada Qabilah Zi Asbah dan al-Nakha’ei daripada Qabilah Nakha’ yang berasal dari Yaman, bukannya dari Quraisy. Imam Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin al-Hasan, kedua-duanya daripada Bani al-Syaibani yang berketurunan dari Rabi’ah, bukannya daripada Quraisy dan bukan juga daripada Mudhar. Al-Thauri daripada Bani Thaur bin ‘Amru bin Makhul dan al-Auza’ei pula, kedua-duanya daripada keturunan bekas hamba.

Walaupun para ahli nasab (pengkaji asal usul keturunan) berselisih pendapat berhubung dengan keturunan Quraisy itu, namun kebanyakan mereka berpendapat, mereka adalah anak Nadhar bin Kinanah.” Pendapat lain pula mengatakan, mereka adalah anak Ilyas bin Mudhar. Ada juga yang menyatakan hanya anak Adnan sahaja dikira bangsa Quraisy, tidak yang lain.

Berdasarkan pendapat tersebut, sudah pasti bahawa Imam Al-Syafie berketurunan Quraisy kerana beliau berketurunan Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan.

2. Firman Allah s.w.t.

Maksudnya:
“Sesiapa yang berjihad pada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami.” Al-Ankabut : 69

Ayat di atas juga menyebut jihad secara umum, tidak mengkhususkan kepada jihad (perang) bersenjata sahaja. Termasuk juga dalam ketegori jihad, berjuang mempertahankan agama dengan hujah-hujah yang konkrit.

Sememangnya telah berlakunya perjuangan mempertahankan Islam dengan menggunakan hujah-hujah dan pandangan bernas di kalangan ulama mazhab al-Syafie dan memang terserlah. Merekalah yang memperkatakan secara terperinci perkara-perkara usul/terpokok, kanun (tatacara tepat) untuk bermujadalah, malah Imam al-Syafie adalah orang yang pertama menyusun ilmu Usul Fiqh. Untuk itu, beliau telah mengarang kitab al-Risalah, Ahkam al-Qur’an, Ikhtilaf al-Hadith, Ibtal al-Istihsan, Jami’ al- Ilmu dan al-Qiyas. Kaedah-kaedah susunan beliau itu diterima dan diikuti oleh para pengarang dan ulama-ulama selepasnya.

Demikian juga, peperangan jihad secara bersenjata, terutamanya untuk membebaskan negeri-negeri yang ditawan musuh seperti Syam, Mesir, Rabi’ah, Armenia, Azerbaijan, Tehran dan Syas di Turki dan sebagainya. Golongan terbesarnya ialah para pengikut Mazhab al-Syafie.

Dengan terbuktinya pelaksanaan jihad oleh mazhab ini, sudah pasti mereka termasuk di dalam golongan yang dijamin oleh Allah untuk mendapat hidayah-Nya sepertimana yang disebut di dalam ayat yang lalu.

3. Mazhab ini juga mengambil sikap ihtiyat (langkah berhati-hati). Sikap ini terlalu sedikit di dalam mazhab-mazhab lain.

Antaranya ialah ihtiyat di dalam ibadah, terutamanya yang paling besar ialah solat. Maka sesiapa yang mengerjakan solat berdasarkan Mazhab Syafie, adalah lebih meyakinkan solatnya menjadi sah. Sedangkan di dalam mazhab-mazhab lain, banyak diamalkan perkara-perkara yang menjadi pertikaian di kalangan fuqaha sama ada sahnya solat atau tidak. Antaranya sebagai contoh:
- Mereka mengharuskan wuduk dengan menggunakan air peraman buah tamar ketika musafir.
- Mereka mengharuskan pembersihan najis pada badan dan pakaian dengan bahan-bahan cecair (bukan air mutlak).
- Mereka mengharuskan solat di atas kulit anjing yang disembelih walaupun tidak disamak.
- Mereka mengharuskan wuduk tanpa dimulai dengan niat dan boleh dilakukan tanpa tertib.
- Mereka berpendapat bahawa tidak batal wuduk apabila menyentuh kemaluan dan perempuan ajnabi.
- Mereka membolehkan solat di atas tahi yang kering yang sebesar satu dirham atau dengan memakai pakaian yang terkena percikan air kencing.
- Mereka berpendapat bahawa sah solat dengan terbuka sedikit aurat.
- Mereka menggugurkan kewajipan takbiratul ihram dan membaca al-Fatihah.
- Mereka mengharuskan membaca al-Qur’an di dalam solat tanpa mengikut tertib susunannya atau yang diterjemahkan di dalam bahasa Parsi.
- Mereka menggugurkan kewajipan rukun tamakninah ketika ruku’, sujud dan iktidal dan duduk di antara dua sujud.
- Mereka menggugurkan kewajipan tasyahhud dan solawat ke atas Nabi s.a.w. di dalam solat.

Sedangkan kita menganggap solat menjadi batal sekiranya melakukan salah satu daripada contoh di atas. Kita juga mewajibkan solat perlu diulang semula sekiranya berimamkan seorang yang melakukan salah satu daripada perkara tersebut. Sedangkan kalau mereka berimamkan kita yang berpegang di atas mazhab al-Syafi’e pada masalah-masalah di atas, mereka tidak wajib mengulangi solat lagi.

Kembali kepada awal perbincangan, pengarang kitab Jami’ul Fatawa, salah seorang ulama bermazhab Hanafi berkata, diharuskan bagi lelaki dan wanita dari mazhab Syafi’e berpindah ke mazhab Hanafi, demikian juga sebaliknya (Hanafi ke Syafi’e) tetapi dengan syarat mengikut secara keseluruhan mazhab itu. Kalau hanya satu masalah sahaja, maka tidak dibolehkan. Contohnya, kalau seorang yang bermazhab Hanafi terluka dan mengalir darahnya, maka dia tidak harus mengerjakan solat sebelum dia mengambil wuduk semula walaupun kerana ingin mengikut pandangan al-Syafie dalam masalah ini. Sekiranya dia bersolat juga sebelum berwuduk, maka dia patut ditempeleng.

Sesetengah ulama mazhab Hanafi berkata, orang awam (bukan ulama) tidak boleh berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain, tidak kira sama ada yang bermazhab Syafi’e atau Hanafi.

Sebahagian mereka juga berkata, “ Sesiapa (yang bermazhab Hanafi) berpindah ke mazhab Syafi’e supaya dia dapat berkahwin dengan anak dara yang balighah tanpa kerelaannya (dengan paksaan wali mujbir), ditakutkan tercabut imannya ketika mati kerana penghinaannya terhadap agama.”

Tetapi sekiranya seorang yang bermazhab Hanafi bersumpah, “ Sekiranya aku mengahwini perempuan itu, nescaya dia tertalak dengan talak tiga.” Selepas itu si lelaki tersebut mengahwini wanita itu. Untuk mengetahui hukum tersebut, dia meminta fatwa daripada seorang yang bermazhab Syafi’e, lalu dia memberi jawapan bahawa perempuan itu tidak jatuh talak dan sumpahnya itu sia-sia (tidah sah). Maka dalam hal ini, dibolehkan mengikut mazhab Syafi’e kerana ramai di kalangan para sahabat sependapat begitu.” Demikian kata-kata pengarang Jami’ al-Fatawa.

Menurut al-Qarafi di dalam kitab al-Tanqih, al-Zayyati berkata: Diharuskan bertaklid dengan mana-mana mazhab ketika di dalam kesempitan dan berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain dengan tiga syarat iaitu:
i) Di antara kedua-dua mazhab itu tidak berlaku perkongsian hukum yang bercanggah dengan ijmak. Contohnya seperti: bernikah tanpa mahar atau bernikah tanpa wali dan saksi. Hal-hal berikut tidak pernah dipegang oleh sesiapapun.
ii) Hendaklah si muqallid itu meyakini akan kelebihan orang yang diikutinya itu mempunyai nas-nas atau alasan-alasan tersendiri.
iii) Tidak bertaqlid hanya pada masalah-masalah yang diberi rukhsah (kemudahan) di dalam mazhab-mazhab itu.

Menurutnya lagi, mazhab-mazhab itu kesemuanya adalah jalan menuju ke syurga dan jalan-jalan kebahagiaan. Maka sesiapa yang menempoh salah satu daripadanya, dia akan sampai.

Ada orang lain berpendapat, diharuskan bertaqlid mana-mana mazhab atau berpindah ke mana-mana mazhab selagi tidak berlaku di dalam mazhab itu apa yang bertentangan dengan hukum Allah iaitu empat bentuk :
i) Sesuatu yang menyalahi ijmak
ii) Sesuatu yang menyalahi kaedah-kaedah syara’
iii) Apa yang menyalahi nas ( sama al-Qur’an atau hadis)
iv) Sesuatu yang menyalahi qias yang jelas.

Menurutnya lagi, telah berlaku ijmak ulama bahawa sesiapa yang memeluk Islam, maka bolehlah dia mengikut mana-mana ulama mujtahid yang disukainya walaupun tanpa mengetahui hujah. Malah para sahabat r.a. seia sekata (berijmak) bahawa sesiapa yang meminta fatwa daripada Abu Hurairah, Mu’az bin Jabal atau selain mereka dan beramal dengan pendapat mereka, dalam hal ini tiada seorang pun yang menyangkal ijmak tersebut. Maka sesiapa yang menolak kedua-dua ijmak ini, hendaklah kemukakan dalil . Demikian pendapat al-Qarafi.

DIPETIK DARIPADA:
Jazil al-Mawahib Fi Ikhtilaf al-Mazahib
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KHAZANAH HIKMAH |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net