Senjata Mukmin - Basmalah, pendek tapi impaksnya besar








Banyak riwayat daripada hadis-hadis Rasulullah yang menyatakan kelebihan Basmalah ini. Cuma kebanyakan hadis-hadis tersebut bertaraf da’if (lemah). Namun begitu, perbahasan mengenai fadilat Basmalah ini termasuk dalam fadail a’mal, maka tidaklah menjadi kesalahan seandainya disandarkan kepada hadis-hadis yang da’if sebagaimana pendapat jumhur ahli hadis.


1- Ibnu Abi Hatim meriwayatkan di dalam tafsirnya dengan sanadnya daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Uthman bin ‘Affan r.a. bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai Basmalah, maka baginda bersabda: “ Basmalah ialah satu nama daripada nama-nama Allah. Tiadalah jarak di antaranya dengan nama Allah yang Maha Besar melainkan sebagaimana jarak di antara anak mata yang hitam dengan anak mata yang putih dari segi dekatnya.”

2- Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Perkara pertama yang diturunkan oleh Jibril kepada Nabi s.a.w. katanya, “Wahai Muhammad, beristighfarlah (memohon keampunan), kemudian ucapkanlah “Bismillahirrahmanirrahim”. Riwayat ini disebut oleh Ibnu Jarir dan Imam al-Suyuti di dalam al-Itqan (jld.1/hlm. 76)

3- Diriwayatkan daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Diturunkan kepadaku satu ayat yang tidak pernah diturunkan kepada seorang nabipun melainkan Sulayman bin Dawud dan selain daku iaitu Bismillahirrahmanirrahim.” Riwayat Ibnu Kathir di dalam tafsirnya (1/185), menurutnya: “Hadis ini gharib dan sanadnya da’if.”

4- Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Tatkala turunnya Basmalah, awan gelap berpindah ke timur, angin menjadi tenang dan lautan berhenti geloranya, binatang-binatang ternakan memasang telinga untuk mendengarnya, syaitan-syaitan direjam dari langit dan Allah Ta’ala bersumpah dengan kemuliaan dan ketinggian-Nya bahawa tidaklah disebut nama-Nya kepada sesuatu melainkan Dia akan memberkatinya.” Hadis ini disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur (1/26) dan memanjangkannya kepada Ibnu Mardawaih dan al-Tha’labi dan menurutnya: “Para perawi adalah thiqah (dipercayai).”

5- Athar Ibnu Mas’ud r.a. katanya: “ Sesiapa yang ingin diselamatkan oleh Allah daripada Malaikat Zabaniyah yang berjumlah 19 itu, maka hendaklah dia membaca Basmalah agar Allah menjadikan satu benteng untuknya melalui setiap huruf daripada Basmalah itu.” Ibnu Kathir berkata: “Athar ini disebut oleh Ibnu ‘Atiyah dan al-Qurtubi.” Manakala al-Suyuti memanjangkannya kepada Wakei’ dan al-Thalabi di dalam al-Durr al-Manthur (1/26).

6- Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya seorang guru apabila berkata kepada kanak-kanak: Sebutlah Bismillah..., maka dicatatkan bagi guru, kanak-kanak dan kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut akan pelepasan daripada neraka.” Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur (1/26) memanjangkannya kepada al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus, biarpun hadis ini da’if.

7- Diriwayatkan sebuah hadis daripada Saidina Ali, katanya, “Apabila engkau berada di dalam kesusahan, maka hendaklah menyebut: xxx (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah), kerana sesungguhnya Allah akan menghilangkan dengan sebab itu apa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada segala bentuk bala.” Hadis marfu’ ini disebut oleh al-Imam al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur (1/26).

8- Diriwayatkan daripada ‘Aishah r.a. katanya: “ Tatkala turunnya Basmalah, bukit-bukau menjadi riuh rendah sehingga gemanya didengari oleh penduduk Makkah, lalu mereka berkata: Muhammad telah menyihir bukit-bukau.” Lalu, Allah mengutuskan asap sehingga menyelubungi ke atas penduduk Makkah. Lalu, Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Sesiapa yang membaca Bismillah... dalam keadaan yakin, nescaya bukit-bukau akan bertasbih bersamanya melainkan dia tidak mendengar tasbih tersebut dari bukit-bukau itu.” Hadis ini didisebut oleh al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur dan memanjangkannya kepada Abu Nu’aim dan al-Dailami.

9- Diriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a. secara marfu’ : “Sesiapa yang membaca Bismillah... dicatatkan untuknya empat ribu kebaikan dengan setiap huruf dan dihapuskan daripadanya empat ribu kejahatan serta diangkatkan untuknya empat ribu darjat.” Diriwayatkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus.

10- Diriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ : “Setiap urusan yang tidak dimulakan dengan Basmalah, maka ia cacat atau terputus (hilang berkat).” Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi.

11- Al-Daruqutni meriwayatkan daripada Buraidah r.a. katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: “ Sesungguhnya aku akan mengajar kepadamu satu ayat yang tidak pernah diturunkan kepada seorang nabi selepas Sulayman melainkan daku iaitu : Bismillah...”.

12- Diriwayatkan daripada Ja’far al-Sadiq bahawa beliau pernah berkata: “Basmalah merupakan mahkota kepada surah.” Kata-kata ini disebut oleh al-Qurtubi di dalam tafsirnya (1/128)


Petikan daripada buku al-Faqir yang akan diterbitkan tidak lama lagi, Insya Allah : PERANAN BASMALAH DALAM KONTEKS MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KHAZANAH HIKMAH |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net